Ahad, 10 Mei 2009

TUGASAN 1 - ULASAN BUKU “THE ART OF ACTION RESEARCH IN THE CLASSROOM”

LATAR BELAKANG KAJIAN TINDAKAN
Kajian tindakan adalah salah satu bentuk pendekatan bersifat penyelidikan yang boleh digunakan oleh guru dalam P&P dalam bilik darjah. Oleh kerana kemampuan pendekatan ini dalam menyelesaikan permasalahn dalam bilik darjah maka penggunaan teknik ini perlu difikirkan. Sebenarnya kajian tindakan telah lama diguna pakai dalam bidang pendidikan. Bagi pengamal kajian tindakan, didapati bahawa kajian ini menggalakkan kreativiti dan inovasi guru dalam meneroka amalan pengajaran yang baru. Macintyre (2000) mengatakan bahawa, “kajian tindakan ialah rangka untuk penilaian kendiri di sekolah dan pendekatan dalam kajian tindakan yang mementingkan refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk membaiki atau mengubah amalan kendiri dalam sesuatu situasi sosial”.
Guru-Guru Perlu Menjalankan Kajian Tindakan
Guru-guru perlu menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan yang dijalankan dapat mengenal pasti atau mengesan kelemahan pelajar dan guru perlulah memikirkan cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan tersebut mengikut kesesuaian pelajar di dalam sesuatu kelas. Hal ini terbukti melalui kajian tindakan yang telah dijalankan di beberapa buah negara maju akhirnya berjaya meningkatkan pencapaian pelajar masing-masing.Seperti yang telah diterangkan tadi, kajian tindakan ialah kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti atau mengesan punca-punca masalah dan mencari langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Jika masalah tersebut masih tidak dapat diatasi, kajian semula harus dilakukan untuk mencuba langkah lain yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah itu.
Dengan perkataan lain, guru-guru perlulah reflektif, kreatif dan proaktif bagi merawat masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajarnya dengan berkesan.Dalam hal ini guru-guru sepatutnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing atau di sekolah masing-masing untuk mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Kelemahan-kelemahan dan masalah pelajar tersebut perlu ditangani oleh guru itu sendiri dan sepatutnya guru itu perlu mencari cara yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini demikian kerana, guru-guru yang mengajar di dalam sesebuah kelas itu sendiri yang memahami kelemahan murid-muridnya. Oleh itu, guru tersebut perlu mencuba langkah-langkah yang difikirkan sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid di dalam kelasnya sendiri.Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah guru-guru itu sendiri perlu membuat muhasabah diri (cermin diri) dan mengkaji kelemahan dirinya sendiri yang mungkin menjadi punca kelemahan dan masalah murid-muridnya. Perkara ini selalunya tidak disedari oleh guru-guru yang mengajar murid-muridnya di dalam kelas. Ada juga guru yang menganggap dirinya sudah sempurna dan tiada kelemahan langsung hingga menyebabkan guru tersebut tidak dapat menerima kritikan atau komen daripada murid-muridnya, pandangan rakan-rakan sejawatan ataupun pihak lain yang memberikan teguran. Sepatutnya guru-guru perlu bersikap terbuka dan sanggup menerima kritikan demi kebaikan dirinya untuk membaiki kelemahan yang ada. Dengan kata lain, kajian tindakan ini juga boleh digunakan untuk mengkaji kelemahan diri, seterusnya memikirkan cara untuk membaiki kelemahan tersebut dan akhirnya akan dapat meningkatkan prestasi pengajaran guru-guru di dalam kelas.
Kaedah Kajian Tindakan
Kaedah yang digunakan dalam kajian tindakan tidaklah terlalu rumit, kerana yang pentingnya ialah hasil atau dapatan yang hendak diperoleh. Kaedah untuk mendapatkan data atau maklumat perlulah mudah dan tidak kompleks untuk mengenal pasti masalah murid-murid. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan tidak sama dengan kajian konvensional yang memerlukan kaedah kajian yang lebih lengkap dan rumit. Sampelnya pun tidak memerlukan angka atau bilangan yang besar kerana masalahnya pun tidak sama antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain dan antara satu kelas dengan kelas yang lain. Kebiasaannya, kajian tindakan ini bermula dengan refleksi pengajaran yang lepas. Oleh hal yang demikian, kita perlu meneliti refleksi yang ditulis dalam buku rekod mengajar dan juga perkara yang kita alami semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.Kaedah menganalisis data dalam kajian tindakan juga tidak memerlukan analisis yang rumit atau mengikut analisis data bagi penyelidikan yang konvensional, tetapi cukup setakat menggunakan kaporan pemerhatian, peratus atau bilangan sahaja.
Perkara yang perlu diberikan penekanan untuk menganalisis data ini ialah perubahan yang berlaku terhadap pelajar-pelajar itu yang biasanya dilihat dari sudut perubahan tingkah laku ataupun perubahan dari segi markah yang diperoleh oleh pelajar-pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana, sampel kajian tindakan ini tidak besar dan yang pentingnya ialah dapatan yang diperoleh hasil analisis data tersebut. Oleh hal yang demikian, analisis data kajian tindakan juga kebiasaannya melibatkan kaedah kualitatif di samping kaedah yang biasa digunakan iaitu kaedah kuantitatif. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan kajian tindakan selalunya melibatkan aspek yang berkaitan dengan sikap, tingkah laku atau tabiat yang sukar diukur dengan nombor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan